Hukum Dan Kaedah Bertayamum - wannursyarifah

as-Sirah an-Nabawiyah

2017-10-28

Hukum Dan Kaedah Bertayamum

saya nak bertanya bagaimana cara untuk saya berwudhuk bilamana tangan berbungkus kerana kecederaan


Hukum Dan Kaedah Bertayamum


Waalakumussalam : Orang yang mengalami luka pada tangan, kaki atau badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wuduk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wuduk atau mandi?

Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wuduk;

Pertama; Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wuduknya.

Kedua; Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.

Jika ia mandi wajib, hendaklah ia mandi sebagaimana biasa iaitu dengan meratakan air ke seluruh badannya yang sihat (yakni yang tidak berbalut). Adapun kawasan yang sakit (yakni yang berbalut) hendaklah disapukan air ke atas balutan secara menyeluruh atau sebahagian besar darinya mengikut pandangan ulamak tadi. Apabila ia sembuh nanti, tidak diwajibkan ia mengulangi semula mandi wajibnya. Ia hanya diwajibkan membasuh/memandikan anggota-anggota yang berbalut sahaja.

Adakah wajib disertai dengan tayammum?

Mengenai soalan ini, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad; tidak wajib lagi bertayammum. Memadai membasuh kawasan yang sihat dan menyapu air di atas balutan bagi kawasan yang sakit. Tidak perlu bertayammum.

2. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; wajib disertai dengan tayammum. Berdasarkan mazhab Syafi’ie, orang yang memakai balutan ia hendaklah melakukan tiga perkara semasa mengambil wuduk atau mandi wajib;
a) Membasuh kawasan yang sihat (tidak sakit atau cedera)
b) Menyapu air ke atas balutan dengan meratakannya
c) Bertayammum; bagi mandi wajib, cukup dengan sekali tayammum sahaja sama ada sebelum mandi atau selepasnya. Adapun bagi wuduk, ada dua pandangan; (Pandangan pertama); wajib bertayammum mengikut bilangan anggota wuduk yang berbalut untuk menjaga tertib yang disyaratkan dalam wuduk. (Pandangan kedua); cukup sekali tayammum sahaja iaitu sebelum wuduk atau selepasnya. Pandangan yang rajih dalam mazhab ialah yang pertama.

3. Mengikut mazhab Imam Ahmad; wajib tayammum hanya jika balutan melebihi kawasan yang perlu, yakni kawasan yang sakit atau cedera. Jika balutan hanya membalut kawasan sakit tanpa menyentuh kawasan yang sihat, tidak perlu bertayammum, cukup dengan menyapu air ke atas balutan sahaja.

Adakah wajib memakainya setelah bersuci?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama; wajib balutan atau palster atau simen itu dipakai setelah bersuci iaitu setelah mengambil wuduk atau setelah mandi wajib. Jika tidak, maka solat yang ditunaikan sepanjang memakai balutan atau simen atau plaster itu wajib diulangi semula apabila sembuh nanti. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad.

Pandangan kedua; tidak wajib bersuci terlebih dahulu sebelum memakainya. Dalam pengertian yang lain; tidak disyaratkan pemakaian balutan atau simen atau plaster itu dibuat setelah mengambil wuduk atau mandi wajib terlebih dahulu. Sekalipun seseorang memakai balutan atau simen dalam keadaan tidak berwudhuk, harus baginya menyapu atas balutan atau simen itu semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib dan tidak perlu ia mengulangi solatnya apabila sembuh. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?

Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wudhuk atau mandi wajib sebagaimana asalnya.

Berdasarkan huraian di atas cara saudara mengambil wuduk mengikut mazhab Syafie iaitu : Saudara basuh anggota wuduk muka, dua tangan hingga siku, sapu air di kepala dan basuh kaki kanan dan di kaki kiri yang bersimen. (jika tak sampai minta orang lain tolong sapukan) kemudian saudara bertayamum iaitu sapu debu di muka dan dua tangan hingga siku. (untuk menggantikan kaki kiri yang tak boleh di basuh dengan air).

Perlu di ingat bertayamum TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN bedak atau debu di dinding, perlu gunakan debu tanah yang suci. Cara bertayamum ialah sebagaimana ajar Nabi SAW dalam hadis berikut: "Sesungguhnya cukuplah engkau mengerjakan sebegini - Nabi SAW menepuk tanah dengan kedua tapak tangannya kemudian meniupnya kemudian menyapu muka serta tangannya dengan kedua tapak tangannya itu. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0208.)

Tayamum hendaklah dengan menggunakan debu tanah yang bersih yang berasal dari bumi sepertimana firman Allah SWT maksudnya : "…kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…(Surah al-Maidah (5) ayat 6) dan juga dari sabda Nabi SAW : "Kamu diberikan kelebihan atas manusia dengan 3 perkara: Dijadikan barisan-barisan kamu seperti barisan para malaikat, dijadikan bumi seluruhnya sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci apabila kamu tidak mendapatkan air."(Hadis riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih - 1/725/0186.)

Daripada dua dalil di atas telah ditentukan bahawa agen penyuci yang dibolehkan bagi etika tayamum ialah debu-debu tanah mukabumi. Ulama-ulama fiqh telah memperluaskan maksud debu tanah mukabumi ini kepada tanah dan jenis-jenisnya, pasir, kerikil, debu arsenik dan kapur. (Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/196.)

Apabila hendak bertayamum seseorang itu perlu memastikan bahawa yang akan digunakan itu adalah debu tanah mukabumi dan bukannya debu-debu habuk partikel udara yang kebanyakkannya merupakan sisa kumuhan kimia yang terapung lalu melekat di dinding bas, perabut atau tingkap bangunan atau habuk-habuk di kerusi bas /kapal terbang/ keretapi)



Beli debu tayamun
Contoh Debu Tayamun Yang Dijual Dikedai

 Sesetengah pendapat membolehkan bertayamum dengan menggunakan apa sahaja yang berupa debu, tanpa mengira samada ia berasal dari bumi atau tidak. Pendapat ini membolehkan bertayamum dengan tepung gandum, bedak talkum, serbuk kayu, habuk-habuk yang berada di atas perkakas rumah. habuk-habuk di kerusi bas, kapal terbang atau keretapi dan sebagainya. Ada juga yang menambah, apa sahaja bentuk debu yang ditemui di mukabumi ini maka ia boleh digunakan sebagai agen untuk tayamum.

Pendapat ini menurut analisa ulama yang muktabar adalah tidak tepat kerana ia jelas menyalahi ketentuan syarak yang menyatakan bahawa yang dibolehkan untuk tayamum ialah debu-debu tanah mukabumi. Perkataan tanah debu di dalam al-Quran berasal dari kata Bahasa Arab yang asalnya bererti tanah. (Imam as-Suyuti - Tafsir Jalalain, 1/451, Shaikh M. Ali ash-Shabuni - Tafsir Ayat-ayat Hukum dalam al-Qur'an, 1/951.)

Oleh itu apabila Allah telah memerintahkan : "……hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih ……" (Surah al-Maidah (5) ayat 6) , maka yang dimaksudkan ialah tanah muka bumi ini dan bukan sebarang jenis debu-debu yang tidak berasal dari tanah muka bumi. Hal ini diperincikan lagi oleh Nabi SAW yang telah bersabda:" ……dijadikan bumi seluruhnya sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci ……" (Hadis riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih - 1/725/0186.)

Imam Ibnu Ruysd seterusnya menambah : Pendapat yang mengatakan kebolehan bertayamum dengan menggunakan apa sahaja yang berada di atas mukabumi adalah lemah. Sebab tidak semuanya itu termasuk dalam kategori 'debu tanah'. Sebab kata 'debu tanah' yang umum itu diertikan sebagai apa yang disebut sebagai bumi. Dengan demikian ia bukanlah diertikan sebagai kapur atau salji atau rumput (dan sebagainya). Allah sahajalah dalam segala hal yang akan menunjukkan kebenaran. (Imam Ibnu Ruysd - Bidayatul Mujtahid, 1/143.)

Dalam kenyataannya ini Imam Ibnu Ruysd tidak memandang kapur sebagai sesuatu yang boleh digunakan untuk bertayamum. Walaubagaimanapun sesetengah ahli fiqh lain berpendapat kapur itu dibolehkan kerana ia adalah juga suatu benda yang asli dari bumi ini. Yang dimaksudkan kapur itu adalah debu-debunya yang dikikis dari bukit-bukit batu kapur sebagaimana yang banyak terdapat di negara kita.)

Tak boleh guna bedak untuk tayamum, cuba cari kedai jual buku-buku agama ada yang menjual debu tayamum. untuk yang simen itu sapu dengan tangan yang ada bekas air saja buat syarat. Kemudian tayamum untuk tampung kawasan yang tak kena air.

1 comment: