Ngaji Quran | Surah al Fatihah - wannursyarifah

Ngaji Quran | Surah al Fatihah

Surah inipun dinamai patihatul-kitab bererti pembukaan kitab,kerana kitab al-Qur'an dimulai atau dibuka dengan surah ini.Dia (al-Fatihah) yang mulai ditulis di dalam Mushhaf,dan dia yang mulai dibaca ketika tilawatil Qur'an , meskipun bukan dia surah yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Nama Surat al- Fatihah ini memang telah mashur sejak permulaan nubuwwat.

Ngaji Quran | Surah al FatihahAdapun tempat dia diturunkan,pendapat yang lebih kuat ialah yang menyatakan bahawa surah ini diturunkan di Mekkah. Al-Wahidi menulis di dalam kitabnya Asbabun-Nuzul dan as-Tsa'labi di dalam tafsirnya riwayat dari Ali bin Abu Thalib,dia berkata bahawa kitab ini diturunkan di Mekah,dari dalam suatu perbendaharaan di bawah 'Arsy .

Menurut suatu riwayat lagi dari Abu Syaibah di dalam al-Mushan­naf dan Abu Nu'aim dan al-Baihaqi di dalam Dalailun- Nubuwwah, dan as-Tsa'labi dan al-Wahidi dari hadits Amer bin Syurahail , bahawa setelah Rasulullah s.a.w mengeluhkan pengalamannya di dalam gua (Satu bukit Jabal Nur yang memiliki gua.Gua itu adalah Gua Hira) itu setelah menerima wahyu pertama,kepada Khadijah, lalu beliau dibawa oleh Khadijah kepada Waraqah, maka beliau ceritakan kepadanya,bahawa apabila dia telah memencil seorang diri didengarnya suara dari belakangnya: "Ya Muhammad, ya Muhammad, ya Muhamad ! Mendengar suara itu akupun lari." Maka berkatalah Waraqah: "Jangan engkau berbuat begitu; tetapi jika engkau dengar suara itu,tetap tenanglah engkau, sehingga dapat engkau dengar apa lanjutan perkataannya itu".
Selanjutnya Rasulullah s.a.w berkata:

"Maka datang lagi dia dan terdengar lagi suara itu : "Ya Muhammad ! Katakanlah : Bismillahir-Rahmanir-Rahim, Alhamdulillahi-Rabbil­`Alamin, sehingga sampai kepada Waladh-Dhaalin". 

Demikian Hadits itu.

Abu Nu'aim di dalam ad-Dalaail meriwayatkan pula tentang seorang laki-laki dari Bani Salamah, dia berkata : 

"Tatkala pemuda ­pemuda Bani Salamah masuk Islam , dan Islam pula anak dari Amer Jumawwah, berkatalah isteri Amer itu kepadanya : "Sukakah engkau mendengarkan dari ayah engkau sesuatu yang telah diriwayatkan dari padanya ? "Anak itu lalu bertanya kepada ayahnya apakah agaknya riwayat tersebut lalu dibacanya : "Alhamdulillahi Rabbil `Alamin" (sampai ke akhir).

Yang memanggil Rasulullah s.a.w itu adalah Malaikat Jibril a.s.Sedangkan Waraqah adalah seorang yang alim faham tentang ahli kitab dan mengenai ciri-ciri (malaikat yang menyampaikan wahyu) malaikat Jibril a.s.

Sedang kejadian itu ialah di Mekah.

Ibnu al-Anbari pun meriwayatkan bahawa dia menerirna riwayat dari Ubadah bin as-Shamit bahawa surah Fatihatul-Kitab ini memang diturunkan di Mekah. Sungguhpun demikian ada juga satu riwayat yang diterima oleh perawi-perawinya dari Mujahid , bahawa beliau ini berpendapat bahawa surah ini diturunkan di Madinah .

Tetapi, entah kerana sengaja hendak mengumpulkan di antara dua pendapat, ada pula segolongan yang menyatakan bahawa Surah diturunkan dua kali, pertama di Mekkah, kemudian diturunkan sekali lagi di Madinah.

Tetapi menjadi lebih kuatlah pendapat golongan yang terbesar tadi bila kita ingat bahawa solat lima waktu mulai di fardhukan ialah sejak di Mekah , sedang solat itu dianggap tidak sah kalau tidak membaca al-Fatihah menurut Hadits :

 "Tidaklah (sah) solat bagi siapa yang tidak membaca Fatihatul Kitab." (Hadits ini dirawikan oleh al-Jama'ah, daripada Ubadah bin as Shamit).
Dia termasuk satu Surah yang mula-mula turun. Meskipun Iqra' sebagai lima ayat permulaan dari Surah al-`Alaq yang terlebih dahulu turun, kemudian itu pangkal surah Ya Ayyuhal Muddatstsir, Kemudian itu pangkal surah Ya Ayyuhal Muzzammil, namun turunnya ayat-ayat itu terpotong-potong. Tidak satu surah lengkap. Maka al-Fatihah sebagai surahyang terdiri dari tujuh ayat, ialah Surah lengkap yang mula-mula sekali turun di Mekah.

Di dalam surah 15 (al-Hijr), ayat 87 ada disebut "Tujuh yang diulang-ulang (Sab'an minal matsaani). Menurut Ibnu Katsir yang dimaksud ialah surah al -Fatihah ini juga, sebab al-Fatihah dengan ketujuh ayatnya inilah yang diulang-ulangi tiap-tiap rakaat solat, baik yang fardhu ataupun yang sunnat. Oleh sebab itu maka Sab'ul Matsaani , adalah nama Surah ini juga.

Di dalam surah 3 (Ali-Imran) ayat 7, ada disebut Ummul Kitab, ibu dari kitab. Menurut Imam Bukhari di dalam permulaan tafsirnya, yang dinamai dengan nama Ummul Kitab itu ialah al- Fatihah ini, sebab dia yang mula ditulis dalam sekalian Mushaf dan dia yang mulai dibaca di dalam solat. Cuma Ibnu Sirin yang kurang sesuai dengan penamaan demikian. Dia lebih sesuai jika dinamai Fatihatul Kitab saja. Sebab di dalam surah 13 (ar-Ra'ad) ayat 39 terang dikatakan bahawa Ummul  Kitab yang sebenarnya ada di sisi Allah.

Tetapi beberapa Ulama lagi tidak keberatan menamainya juga Ummul Qur'an, ertinya ibu dari seluruh isi al-Qur'an,kerana ada sebuah Hadits yang dirawikan oleh Imam Ahmad rahimahullah dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : 

"Dia adalah ibu al-Qur'an , dan dia adalah Fatihatul kitab dan dia adalah tujuh yang diulang-ulang."

Penulis Tafsiral-Kasysyaaf menyebutkan lagi namanya yang lain, iaitu al Kanz(Perbendaharaan), al- Wafiyah (yang melengkapi), al Hamd (puji-pujian) dan surah as-Shalah (solat). Dan menurut riwayat as-Tsaalabi dari Sufyan bin Uyaynah, Surah inipun bernama al- Waqiyah (Pemelihara dari kesesatan), Sebab dia mencukupi Surah-­surah yang lain, sedang Surah-surah yang lain tidak mencukupi kalau belum bertali dengan dia. Tadi dia beri nama Perbendaharaan,kerana menurut riwayat All bin Abu Thalib tadi, dia diturunkan dari Perbendaharaan di bawah Arsy.

Dia bernama Melengkapi, sebab seluruh Syariat lengkapnya tersimpul dalamnya. Dia bernama Puji pujian, sebab dipangkali dengan puji kepada Allah. Dan dia bernama Surah solat, kerana tidak sah solat kalau al-fatihah tidak dibaca.

Bilamana kita kelak telah sampai kapada penafsiran isinya, dapatlah kita fahami bahawa segala nama itu memang sesuai dengan al-fatihah. Apatah lagi pokok ajaran Islam yang sejati, yang menjadi ibu dari segala pelajaran, iaitu Tauhid, telah menjadi isi dari ayat-ayatnya itu pertama sampai akhir.

Tidak ada puji, apapun macamnya puji untuk yang lain, hanya untuk Allah semata-mata. Dan di dalam ayat itu telah tersebut Tuhan sebagai Robbi, atau Robbun, yang bererti Pemelihara, Pengasuh, Pendidik dan Penyubur. Diikuti oleh ayat yang menyebut dua nama Allah, iaitu Ar-Rahman, Yang Maha Murah dan Ar-Rahim Yang Maha Penyayang, nampaklah betapa pertalian Khaliq dengan MakhlukNya, yang kelak di dalam al-Qur'an akan diuraikan berulang-ulang. Kemudian pokok ajaran utama dari al Quran ialah tentang hari   pembalasan, Hari Kiamat, Hari Berbangkit, dari ilal syurga dan neraka; semuanya ini telah tersimpul dalam ayat " Maliki yaumiddin" yang mempunyai hari pembalasan.

Sebagai kesempatan ibadah kepada Allah, dan tidak ada ibadat buat yang lain, iaitu isi yang sejati dari Tauhid, maka datanglah ayat: " Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in". Hanya engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah tempat kami memohon pertolongan.

Untuk mencapai redha Allah, maka Tuhan menunjukkan garis jalanNya yang harus ditempuh, lalu Allah mengutus Rasul-rasulNya membawa Syariat dan memimpin kepada manusia bagaimana menempuh jalan itu; Isi Al-Qur'an yang ini tersimpul dalam ayat "Ihdinas Shirothol Mustaqim".

Kemudian itu al-Qur' an berisi khabar yang menggembirakan bagi orang yang taat dan patuh, kebahagiaan di dunia dan syurga di akhirat yang di dalam istilah agama disebut wa'ad, ini telah terkandung di dalam ayat "Shirotholladzina an `amta `alaihim ", jalan yang telah Engkau beri nikmat atasnya. Kemudian al-Qur'an pun memberikan ancaman seksa dan azab bagi orang yang lengah dan lalai, kufur dan durhaka, yang disebut wa'id. Maka tersimpul pulalah kata al-Qur'an ini pada hujung surah tentang orang yang maghdhub, kena murka Tuhan, dan orang yang dhoollin, orang yang sesat. Demikian pula al-Qur'an menceritakan keadaan umat-umat yang telah terdahulu, yang telah binasa dan hancur kerana dimurkai Tuhan, dan diceritakan juga kaum yang sesat dari jalan yang benar; itupun telah tersimpul di dalam kedua kalimat maghdhubi dan dhoollin itu.

Menilik yang demikian itu dapatlah kita pahami apa sebab maka al-Fatihah itu disebut Ummul Kitab atau Fatihatul-kitab, yang pada pembukaan telah disimpul isi dari 114 surah yang mengandung 6.236 ayat itu.

Rujukan:Tafsir Azhar
Ngaji Quran | Surah al Fatihah Ngaji Quran | Surah al Fatihah Reviewed by Nursyarifah Syed Putera on 11/16/2016 04:14:00 PM Rating: 5

No comments