Menghidupkan Syiar Islam - wannursyarifah

Menghidupkan Syiar Islam

Menghidupkan Syiar Islam
Setelah kewafatan rasulullah, berlalunya zaman sahabat, beransurnya zaman salaf dan munculnya zaman khilafah sehinggalah akhirnya ia runtuh pada tahun 1924 M maka kita dapat melihat umat Islam telah didatangi dengan pelbagai bentuk ujian dan cabaran yang pelbagai sehingga memaksa mereka untuk sentiasa terus berjuang.

Bermula pada zaman rasulullah salallahualaihiwassalam masih hidup, umat Islam perlu berjuang untuk menegakkan Islam dan menjatuhkan syirik dan jahiliyyah melalui pelbagai usaha dakwah dan jihad peperangan kemudian setelah kewafatan baginda kita menyaksikan kesungguhan Abu Bakar As-Siddiq ra dan para khalifah rasulullah pula dalam memelihara Islam dan menghapuskan nabi palsu, golongan murtad, penyelewengan dan kebathilan.

Seterusnya umat Islam diuji pula dengan zaman fitnah dan perselisihan dalam mendapatkan keadilan dan perjuangan untuk meneruskan kepimpinan sehinggalah bermulanya sejarah baru apabila pemerintahan beraja dan dinasti keturunan muncul dalam sejarah Islam apabila seorang tokoh sahabat bernama Muawiyah bin Abi Sufyan ra menaiki jawatan Khalifah.

Kemudian jangan dilupakan pula perjuangan menuntut hak dan keadilan yang berterusan berlaku dalam sejarah Islam apabila ramai menentang pemerintahan Hajjaj Ibn Yusof As-Saqafi di kalangan ulama Islam. Seterusnya zaman fitnah aqidah apabila golongan bid’ah dan ajaran sesat berkembang dalam umat Islam apabila munculnya fahaman Syiah, Khawarij, Qadariyah, Mukzatilah dan pelbagai lagi.

Apabila Khalifah Al-Makmun berkuasa dari tahun 198-218 Hijrah dan menjadikan fahaman sesat Muktazilah sebagai mazhab rasmi negara maka ramai ulama Islam bangkit dan berjuang melawan kesesatan tersebut dan mereka terpaksa menghadapi tekanan dan ujian yang dahsyat seperti diseksa dan dipenjarakan demi mempertahankan Islam dan membela agama daripada kebathilan.

Kita juga akan melihat perkembangan mazhab-mazhab agama dalam Islam, perselishan agama, perbahasan fiqh dan isu-isu aqidah dan perkembangan aliran-aliran pemikiran dan ilmu dalam sejarah Islam sebagai salah satu bentuk perjuangan.

Tidak sudah disitu sepanjang sejarah Islam pelbagai perkara telah berlaku yang boleh dilihat dan dibaca melalui kitab-kitab sirah Islam seperti Tarikh al-Umam wa al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh at-Tabari oleh Imam Ibn Jarir At-tabari, Al-Bidayah wa An-Nihayah oleh Imam Ibn Kathir, Tarikh Khulafah oleh Imam Jalaluddin As-Suyuthi dan lain-lain.

Kita akan membaca bagaimana kejatuhan dinasti Umaiyah yang berakhir dengan kejatuhan Khalifah Marwan pada tahun 750 M kepada dinasti Abasiyyah yang kemudiannya berakhir pada tahun 1258 M apabila Baghdad jatuh ke tangan Monggol. Seterusnya kita akan membaca pula sejarah perjuangan umat Islam dalam zaman peralihan kepada dunia moden, zaman penubuhan khilafah Utsmaniyah, percaturan politik semasa dunia Islam kepada tangan-tangan bukan arab dan seterusnya kepada kejatuhan Khilafah Turki dan kemunculan Negara-negara umat Islam di seluruh dunia yang mewujudkan pemerintahan sendiri dan perjuangan-perjuangan umat Islam yang bersifat mengikut kawasan dan sempadan geografi, mempunyai budaya dan mazhab tertentu.

Melalui media massa dan beberapa sumber yang boleh dipercayai dan bahan-bahan bacaan yang ada maka kita akan cuba menyingkap pula realiti dan status keadaan perjuangan umat Islam pada hari ini di seluruh pelusuk dunia dan gerakan-gerakan yang aktif mewakili umat Islam dan menilai kecenderungan dan arah tuju mereka. Misalnya gerakan Islam di timur tengah seperti Ikhwan Muslimun, gerakan salafiyah di Arab Saudi dan pelbagai negara arab, gerakan jihad dan kumpulan mujahidin di Afghanistan, Iraq dan Yaman serta Hamas dan perjuangan umat Islam di sekitar Palestin.

Turut disentuh segala jenis perjuangan umat Islam seperti usaha tabligh, dakwah kepada non-Muslim, perjuangan menegakkan Khilafah dan seruan Hizbut Tahrir, usaha menegakkan negara Islam melalui demokrasi dan pilihanraya serta penubuhan parti-parti politik Islam di negara-negara umat Islam dan juga dakwah-dakwah kepada jihad dan aktiviti perjuangan bersenjata yang dilabel sebagai militan dan pengganas.

Kita akan cuba mengulas sedikit sebanyak perjuangan mereka dan mencari-cari dalil-dalil daripada khabar janji akhir zaman dan hadis-hadis yang mampu menjadi isyarat kepada perjuangan mereka dan melakukan kritikan dan muhasabah terhadap perjuangan tersebut untuk manfaat umat Islam.

Oleh itu kita juga akan menilai dan melakukan penelitian terhadap perjuangan umat Islam di dalam negara-negra Islam itu sendiri seperti di Malaysia, Indonesia dan di timur tengah yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia Islam seperti Arab Saudi, Mesir, Yaman, Palestin, Iran dan Iraq.

Misalnya dalam hadis Auf bin Malik ra yang berkata, "Rasulullah salallahualaihiwassalam telah bersabda yang bermaksud :"Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat." Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis." (hadis sahih bukhari)

Kita juga akan turut membincangkan isu berkaitan negara-negara bukan Islam seperti India, Amerika Syarikat, Israel dan England serta negara-negara Eropah yang berkefahaman Kristian dan yang diramalkan akan menjadi musuh-musuh umat Islam atau sedang memusuhi perjuangan umat Islam.

Diriwayatkan oleh Tsauban bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Dua kumpulan daripada umatku akan dilindungi oleh Allah daripada api neraka iaitu kelompok yang menyerbu India dan kumpulan yang bersama Isa bin Maryam (semasa Isa turun di akhir zaman nanti).” (hadis riwayat Ahmad dan Nasaie)

Termasuk juga dalam perbincangan kita ialah kawasan-kawasan penting yang mempunyai peranan dan pengaruh di dalam khabar-khabar akhir zaman seperti Iran, Syiria, Jordan, India, Palestin, Yaman dan lain-lain.

Bahkan di dalam beberapa hadis rasulullah diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud : “Akan keluar daripada Aden Abyan (kawasan daripada Aden) seramai 12 000 orang yang akan menolong Allah dan rasul-Nya. Mereka itu adalah sebaik-baik orang di antaraku dan mereka.” (hadis riwayat Ahmad, Tibrani dalam Mu’jam Al-kabir)

Kemudian kita akan cuba mengungkitkan ramalan-ramalan nabi salallahualaihiwassalam dan khabar janji-janji akhir zaman dan melihat pula perkembangan zaman hari ini untuk mengetahui apakah sudah terjadi semua yang diramalkan oleh nabi atau masih berbaki dan melihat potensi-potensi ramalan itu akan terjadi dan melakukan persediaan dan bermuhasabah serta mempertimbangkan kesannya kepada perjuangan umat Islam.

Nota:
Petikan dari tulisan Asal oleh Ustaz Emran Ahmad
Menghidupkan Syiar Islam Menghidupkan Syiar Islam Reviewed by Nursyarifah Syed Putera on 10/26/2016 10:00:00 AM Rating: 5

No comments