Solat Tahajud Sesudah Solat Witir Dibulan Ramadhan

Solat Tahajud Sesudah Solat Witir Dibulan Ramadhan 


Ketahuilah bahawa solat tahajud merupakan bahagian dari solat malam yang di mana solat tahajud dikerjakan setelah bangun tidur.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin | Solat Tahajud Sesudah Solat Witir Dibulan Ramadhan Demikian pendapat Imam Nawawi dalam Syarh Al-Muhaddzab. Oleh kerananya tidaklah bertentangan antara niat solat malam dan solat tahajud. Siapa yang mengerjakan solat malam setelah bangun tidur, ia disebut sebagai orang yang bertahajud dan solatnya dianggap pula sebagai solat malam.



Kalau seseorang sudah mengerjakan solat tarawih dibulan ramadhan dan ditutup dengan solat witir, maka ia boleh menambah solat tahajud lagi di malam harinya dengan beberapa tinjauan sebagai berikut:

1- Perintah mengerjakan solat malam bersama imam hingga imam selesai
Dari Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

“Sesungguhnya siapa saja yang solat bersama imam hingga imam itu selesai, maka ia dicatat telah mengerjakan solat  semalam suntuk (semalam penuh).” (HR. Tirmidzi no. 806. Abu Isa Tirmidzi mengatakan bahawa hadits ini hasan shahih)

Dalam riwayat lain dalam Musnad Imam Ahmad, disebutkan dari Abu Dzar, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ بَقِيَّةُ لَيْلَتِهِ

“Sesungguhnya jika seseorang solat bersama imam hingga imam selesai, maka ia dihitung mendapatkan pahala solat di sisa malamnya.” (HR. Ahmad 5: 163. Syaikh Syu’aib Al-Arnauth menyatakan bahawa sanad hadits ini shahih sesuai syarat Muslim)
Kalau seseorang keluar dari solat tarawih kerana ingin menambah solat tahajud dan witirnya di malam hari, maka ia tidak mendapatkan pahala solat semalam suntuk. Walaupun dari sisi kesahan tetaplah sah.

2- Masih boleh menambah solat malam setelah tarawih kerana jumlah raka’at solat malam tidak ada batasannya.
Ibnu ‘Abdil Barr mengatakan,

فَلاَ خِلاَفَ بَيْنَ المسْلِمِيْنَ أَنَّ صَلاَةَ اللَّيْلِ لَيْسَ فِيْهَا حَدٌّ مَحْدُوْدٌ وَأَنَّهَا نَافِلَةٌ وَفِعْلٌ خَيْرٌ وَعَمَلٌ بِرٌّ فَمَنْ شَاءَ اِسْتَقَلَّ وَمَنْ شَاءَ اِسْتَكْثَرَ
“Tidak ada khilaf di antara kaum muslimin bahawa solat malam tidak ada batasan raka’atnya. solat malam adalah solat nafilah (solat sunnah) dan termasuk amalan kebaikan. Seseorang boleh mengerjakan dengan jumlah raka’at yang sedikit atau pun banyak.”(At-Tamhid, Ibnu ‘Abdil Barr, 21: 69-70, Wizaroh Umum Al Awqof, 1387 dan Al-Istidzkar, Ibnu ‘Abdil Barr, 2: 98, Dar Al-Kutub Al ‘Ilmiyyah, 1421 H)
Adapun dalil yang menunjukkan bahawa solat malam tidak dibatasi jumlah raka’atnya, yaitu ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ditanya mengenai solat malam, beliau menjawab,

صَلاَةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى ، فَإِذَا خَشِىَ أَحَدُكُمُ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً ، تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى

solat malam itu dua raka’at salam, dua raka’at salam. Jika salah seorang di antara kalian takut masuk waktu shubuh, maka kerjakanlah satu raka’at. Dengan itu berarti kalian menutup solat tadi dengan witir.” (HR. Bukhari no. 990 dan Muslim no. 749, dari Ibnu ‘Umar). Padahal ini dalam konteks pertanyaan. Seandainya solat malam itu ada batasannya, tentu Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam akan menjelaskannya.
3- Kita memang diperintah menutup solat malam dengan solat witir sebagaimana disebutkan dalam hadits dari Ibnu ‘Umar, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

“Jadikanlah akhir solat kalian di malam hari adalah solat witir.” (HR. Bukhari no. 998 dan Muslim no. 751).
Pengertian menutup solat malam dengan solat  witir, hukumnya adalah sunnah, bukan wajib. Sehingga setelah solat witir masih boleh menambah lagi solat sunnah. Alasannya adalah praktik Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang sesudah solat witir masih menambah lagi dengan dua raka’at yang lain.
‘Aisyah menceritakan mengenai solat malam Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

كَانَ يُصَلِّى ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّى ثَمَانَ رَكَعَاتٍ ثُمَّ يُوتِرُ ثُمَّ يُصَلِّى رَكْعَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَرْكَعَ قَامَ فَرَكَعَ ثُمَّ يُصَلِّى رَكْعَتَيْنِ بَيْنَ النِّدَاءِ وَالإِقَامَةِ مِنْ صَلاَةِ الصُّبْحِ.

“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa melaksanakan solat 13 raka’at (dalam semalam). Beliau melaksanakan solat 8 raka’at kemudian beliau berwitir (dengan 1 raka’at). Kemudian setelah berwitir, beliau melaksanakan solat dua raka’at sambil duduk. Jika ingin melakukan ruku’, beliau berdiri dari ruku’nya dan beliau membungkukkan badan untuk ruku’. Setelah itu di antara waktu adzan shubuh dan iqomahnya, beliau melakukan solat dua raka’at.” (HR. Muslim no. 738)

Ibnul Qayyim rahimahullah menjelaskan, “Dua raka’at setelah witir itu tanda bahawa masih bolehnya dua raka’at setelah witir dan jika seseorang telah mengerjakan solat witir bukan berarti tidak boleh lagi mengerjakan solat sunnah sesudahnya. Adapun hadits di atas “Jadikanlah akhir solat kalian di malam hari adalah solat witir“, yang dimaksud menjadikan solat witir sebagai penutup solat malam hanyalah sunnah (bukan wajib). Artinya, dua raka’at sesudah witir masih boleh dikerjakan.” (Zaad Al-Ma’ad, 1: 322-323). Lihat penjelasan: Dua Raka’at Sesudah solat Witir.

Yang jelas bagi yang sudah melaksanakan tarawih lalu menutupnya dengan witir tidak lagi melakukan witir yang kedua setelah melakukan solat tahajud di malam hari. Dari Thalq bin ‘Ali, ia mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

لاَ وِتْرَانِ فِى لَيْلَةٍ

“Tidak boleh ada dua witir dalam satu malam.” (HR. Tirmidzi no. 470, Abu Daud no. 1439, An Nasa-i no. 1679. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadits ini shahih)[1]

Perbahasan
SOALAN:

Setiap menjelang Ramadan kita akan bertemu semula dengan solat sunat Tarawih dan Witir tetapi sehingga sekarang saya masih keliru dengan keperluan mengerjakan solat sunat Witir. Sesetengah orang mengatakan kita perlu melakukannya selepas solat Tarawih secara berjemaah di surau atau masjid manakala yang lain pula mengatakan kita tidak perlu bersolat sunat Witir selepas Tarawih di surau atau masjid, sebaliknya kita boleh melakukannya di rumah saja. Saya harap mendapat sedikit penjelasan mengenai perkara ini.

JAWAPAN:

Antara sembahyang sunat yang sangat dituntut kita mengerjakannya ialah sembahyang sunat Witir. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Anas bin Malik yang bermaksud: “Wahai Anas! Hendaklah kamu melakukan tiga perkara ini sepanjang hidupmu; yang pertama sembahyang sunat Duha, keduanya ialah sembahyang sunat Witir sebelum kamu tidur dan ketiganya berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis.” Inilah tiga perkara yang dipesan oleh Rasulullah kepada sahabatnya, Anas bin Malik. Pada prinsipnya sembahyang sunat Witir ini adalah dijadikan sebagai sembahyang yang terakhir pada waktu malam. Maknanya, kalau seseorang ingin berqiyamullail dan melakukan pelbagai solat seperti sembahyang sunat Tasbih, sunat Mutlak dan sunat Tahajud, maka akhirnya hendaklah ditutup atau disudahi dengan sembahyang sunat Witir. Ini berasaskan hadis sahih yang bermaksud: “Jadikanlah akhir sembahyang kamu pada waktu malam itu dengan Witir.” Berbalik kepada persoalan yang ditimbulkan, biasanya sejajar dengan kebiasaan dalam Ramadan, selepas kita melakukan sembahyang Tarawih, ia akan diikuti pula dengan sembahyang sunat Witir tiga rakaat. Ini sudah menjadi amalan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Sehubungan itu, seperkara yang patut disebutkan juga di sini ialah sembahyang sunat Witir sebenarnya adalah antara sembahyang yang tidak disunatkan kita berjemaah. Tetapi jika dilakukan secara berjamaah hukumnya harus. Ertinya, kita sembahyang sendiri, kecuali dalam bulan Ramadan apabila sunat Witir dituntut dilakukan secara berjemaah.. Inilah yang kita lakukan setiap Ramadan. Berbalik kepada persoalan yang ditimbulkan, bagi pendapat saya, oleh kerana sunat Witir ini disunatkan kita berjemaah khusus pada Ramadan ini maka adalah baik sekiranya bersembahyang Tarawih disudahi dengan sunat Witir secara berjemaah di surau atau di masjid itu. Kemudian, apabila kita bangun pada waktu sahur untuk mengerjakan qiamullail, bersembahyang tahajud atau melakukan apa-apa ibadat yang lain maka tidak perlu lagi kita menunaikan solat sunat Witir itu. Sebaliknya, memadailah dengan sekali Witir yang sudah ditunaikan itu. Ini berpandukan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tidak ada dua Witir dalam satu malam” (riwayat Ahniad dan Abu Daud). Ini bermakna kalau kita sudah sembahyang Witir berjemaah selepas sembahyang tarawih di surau atau masjid tadi maka selepas kita bangun pula pada waktu sahur dan melakukan pelbagai ibadat sunat yang lain maka tidak boleh lagi kita tutupkan ibadat kita itu dengan sembahyang Witir bagi kali yang kedua. Cukuplah selepas kita melakukan Witir bagi kali yang pertama tadi. Sebabnya memang ada hadis bahawa Rasulullah SAW pernah bersembahyang iaitu selepas sembahyang Isyak baginda bersembahyang Witir, kemudian apabila baginda bangun bertahajud pula, baginda tidak lagi mengerjakan sembahyang sunat Witir. Dengan penerangan ini, diharapkan tidak lagi menimbulkan kekeliruan kepada saudara yang bertanya. Bagaimanapun, terpulanglah kepada setiap individu — kalau seorang itu merasakan bahawa dia hendak menjadikan Witir ini sebagai penutup sembahyang maka selepas dia sembahyang Tarawih tidaklah perlu dia sembahyang Witir tetapi apabila dia bangun tengah malam dan mengerjakan sunat Tahajud dan sebagainya maka bolehlah dia mengerjakan sunat Witir kemudiannya. Tetapi sekiranya dia sudah mengerjakan sunat Witir selepas Tarawih tadi, maka tidak perlulah dia mengerjakan Witir sekali lagi. Khusus bagi bulan Ramadan ini, adalah lebih afdal seseorang itu sembahyang Witir berjemaah bersama imam selepas Tarawih. Kemudian kalau bangun tengah malam nanti, bolehlah dia mengerjakan sembahyang yang lain tanpa perlu sembahyang Witir lagi. Sebagaimana yang disebutkan awal tadi, sembahyang sunat Witir hanya disunatkan kita berjemaah pada Ramadan saja dan kita mendapat fadilat berjemaah daripadanya Sedangkan pada bulan lain, kita tidak disunatkan sembahyang Witir berjemaah. Seperkara yang tidak kurang penting ialah janganlah seseorang itu melakukan dua kali Witir. Kalau seseorang melakukan dua kali Witir, Witir yang kedua tidak dianggap Witir lagi, Ia mungkin jatuh sebagai sunat Mutlak. Sekiranya dia lakukan juga dua kali Witir dalam satu malam maka dia sudah melakukan bida’ah dalam agama.[2]

Rujukan:
[1]https://rumaysho.com/11221-shalat-tahajud-lagi-setelah-shalat-tarawih.html
[2]http://www.muftiwp.gov.my/v1/index.php?option=com_content&id=120&lang=en
Solat Tahajud Sesudah Solat Witir Dibulan Ramadhan Solat Tahajud Sesudah Solat Witir Dibulan Ramadhan Reviewed by Nursyarifah Syed Putera on 19:49 Rating: 5

No comments